Sabtu, 21 Februari 2009

AKU DAN ANAK-ANAK CINA

Assalamualaikum...... Salam keimanan dan salam kemanusiaan buat para pencinta kedamaian....

35 tahun yang lalu aku dilahirkan jauh di hulu sebuah negeri.. Aku membesar di persekitaran hidup yang jauh dari pekan membuatkan Aku tidak mengenali rapat kaum lain di Malaysia selain dari Kaum Melayu.. Hanya ibu dan bapa aku yang menceritakan perihal orang Cina yang dikatakan kaya dan tinggal di pekan-pekan berniaga dan mereka mengatakan Orang Cina tidak boleh dipercayai sangat dan suka menipu dan mempermainkan Orang Melayu. Aku tidak mengerti kenapa orang Cina dikatakan demikian sedangkan jika ke pekan kedai Cinalah yang akan menjadi tumpuan orang-orang Melayu mendapatkan pelbagai keperluan harian. Meningkat ke umur kanak-kanak yang mula belajar membaca, menulis dan mengira maka banyak lagi pegetahuan tentang negara bangsa dan sifat-sifat yang terpuji sebagai manusia.. Masa itu pendidikan sivik diajar disekolah-sekolah selain dari pendidikan Islam. Aku diajar tentang perpaduan pelbagai kaum di Malaysia, tentang tolerasi antara kaum dan sebagainya. Balik rumah aku biasa menumpang membaca Akhbar Utusan Melayu yang pada masa itu menjadi langanan tetap bapa aku. Aku dan adik beradik yang lain seramai 7 orang selalu berebut untuk membaca akhbar berkenaan setiap kali bapa selesai membaca...... Cerita-cerita dalam akhbar berkenaan memang lunak dan lembut menyentuh pelbagai isu dalam negara dari hal politik sampailah hal-hal artis. Ini berbeza dengan akhbar Harakah yang pada masa itu menggunakan bahasa-bahasa yang kelihatan keras dan tajam dalam menghentam. Harakah juga selalau bapa aku bawa balik dan menjadi bahan kajian bapa aku untuk mempertajam ilmu politik beliau kerana sejak aku kanak-kanak lagi beliau memang aktif menyertai satu kumpulan politik yang memperjuangkan martabat manusia mengikut warna kulit (sawo matang) dan bersama-sama dengan kumpulan yang memperjuangkan manusia kulit berwarna putih kuning dan hitam cokelat yang membetuk kumpulan terkuat tiga serangkai dalam barisan yang telah membentuk kerajaan sejak British keluar dari Tanah Melayu.
Pada zaman kanak-kanak (alam sekolah rendah) dalam berkawan-kawan selalulah menceritakan tentang politik.. politik budak-budak. Masa itu macam-macam cerita politik zaman Tun Dr. Mahathir mengenai Team A dan Team B. Selain dari itu yang selalu aku dan kawan-kawan bincangkan tentang Cina dan tentang Komunis... ingat lagi masa itu kalau ke mana-mana kalau berjumpa dengan Cina kami merasa ketakutan bimbang ditembak Komunis atau diculik oleh mereka. Ada juga perbincangan mengenai bahaya Negara Cina, Singapura yang akan menyerang Malaysia... mengenai orang-orang Cina Malaysia akan berpaling tadah dan membunuh Orang Melayu.... Aku pun tak tahu mengapa kalau bercerita tentang politik masa zaman budak-budak dulu takut benar kalau cerita tentang Orang Melayu yang akan diusir oleh Orang Cina apabila berlaku peperangan dan peristiwa seperti 13 May yang telah berlalu itu. Masih ingat lagi pada masa itu perasaaan benci, geram dan takut kepada Orang Cina memang sentiasa melekat dalam hati Aku masa itu.
Menjejak kaki ke sekolah menengah di sebuah pekan ditepi sungai maka semakin rapatlah aku dengan kehidupan masyarakat Cina. Semakin mengenali mereka dan setiap kali habis sekolah kedai merekalah diserbu oleh aku dan kawan-kawan untuk mendapatkan barang-barang runcit. Dalam kelas aku ada ramai juga budak-budak Cina yang belajar sekali dengan aku. Umur mereka setahun lebih tua dari aku kerana mereka menduduki kelas peralihan sebelum masuk tingkatan satu. Dalam ramai-ramai budak Cina tu ada seorang budak lelaki Cina yang selalu juga jumpa aku mendapatkan bahan-bahan belajar dan bertanya aku tentang pelajaran. Aku masa itu tak ler kedekut ilmu tapi cara aku itu selalu ler menjadi sindiran teman-teman Melayu. Selain dari itu entah macamana hati berkenan sangat pada seorang amoi dalam kelas aku... kata orang masa tu tengah membesar dan keinginan pada yang belainan jantina tu berkembang seiring dengan usia... Malu-malu kucing le bila terserempak dengan amoi tu setiap hari... aku tengok dia pun semacam jer bila jumpa aku (perasan betul aku) memang hati berkenan betul kat dia tapi tak tau macamana ler nak cakap kat dia yang aku menyimpan hati dan jatuh cinta monyet pada dia... Jauh dalam hati aku rasa terperasan amoi tu lain sikit kalau terserempak dengan aku, pandangan dan juga senyuman dia pada aku masa tu seperti dia juga seperti menaruh hati pada aku (perasan lagi aku). Masa tu tingkatan lima dan tahun akhir disekolah berkenaan dan pada bulan-bulan terakhir tu aku tengok dia tiba-tiba bertukar tempat duduk jadi lebih hampir dengan meja aku...... ni yang membuat aku semakin perasan...... Suatu hari sesuatu yang tak disangka berlaku bila dia tiba-tiba gelakan aku besar-besar hanya kerana lawak kecil kawan aku yang kena kan aku... sempatlah pada masa itu aku pandang dan renung mata dia lama-lama dan senyum puas-puas pada dia. Sebelum ni aku pun tak tau kenapa dengan dia aku jadi lemah dan lembik... segan dan malu padahal dengan orang lain aku ok jer semua. Sebelum peperiksaan SPM di awal 1990an berkenaan aku sempat ler bercakap dengan dia buat kali pertama... lama juga bercakap dan bersembang dgn dia dan menyatakan sesuatu yang sepatutnya seorang pencinta ceritakan... (apa ceritanya dan jawapan dia biarlah jadi rahsia aku dan Anak Cina berkenaan) Namun dapat dirasakan ia suatu pengalaman pertama dan boleh dikategorikan satu perbincangan matang dan berpijak di bumi yang nyata... Apa sekalipun masa itu aku ikhlas pada dia dan akan membimbing dia sebagai seorang muslim... dan aku fikir cukup baik niat aku kalau dapat laksanakannya. Sekalipun belum matang tetapi memahami latar belakang yang berbeza membuat sama-sama akan berfikir 100 kali. Bila dikenang-kenang balik kalau ingat kat dia mesti aku terfikir kalau jadile dia isteri aku agak-agak tercemar tak Melayu keturunan aku nanti...... adakah terjejas apa-apa sedang aku tahu ia akan menghasilkan baka manusia yang lebih baik lagi ciri-cirinya. Selepas selesai peperikasan SPM aku terputus hubungan dgn dia maklumlah masa tu mana ada hanset dan internet lagi jadi terasa ler juga sesuatu yang mencuit perasaan.
Masuk tingkatan enam aku bertukar sekolah dan aku dengar amoi tu tak dapat keputusan yang cemerlang. Jadi di sekolah baru tiadalah lagi dia dan terus terputus hubungan lansuang dengan dia. Sampai sekarang aku tak tau apa cerita dia. Tamat tingkatan enam aku kerja kilang bantu keluarga selama menunggu keputusan STPM. Seperti biasa kalau kata kerja kilang ni mana ada sangat tauke dia Melayu. Aku bekerja dengan tauke Cina dan Supervisor Cina... mula-mula kerja aku sangka layanan Cina pada Orang Melayu mesti teruk.. namun lama-lama baru aku rasa persepsi aku selama ini adalah silap dan ia semata-mata kerana mainan perkauman oleh parti yang memerintah negara sehingan mempengaruhi ramai Orang Melayu. Aku masih ingat lagi bagaimana Supervisor Cina berkenaan bagi nasihat kat aku juga tentang masa depan kesungguhan mencapai cita-cita sebab dia tahu aku menunggu STPM. Selalu juga aku besembang dengan dia selain dia mengajar aku banyak pekara yang aku tak tau.
Dapat keputusan STPM aku mohon masuk universiti dan dengan izinNya aku dapat tawaran sebuah universiti dan belajar di sana sampai tamat B.A dan bekerja sambil menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Aku masih ingat saat-saat genting dalam hidup aku sebagai pelajar Master dan juga sebagai suami dan bapa apabila perkhidmatan aku ditamatkan semasa zaman ekonomi baru pulih awal 2000an. Pada masa itu hanya tuhan yang tahu bagaimana kehilangan punca pendapatan dan keperluan menyara hidup dan membayar yuran pengajian Master yang sangat-sangat memeritkan... apa yang aku ingat saat aku keluar dari sebuah institusi kawan-kawan Melayu aku yang aku kira rapat dan baik dengan aku semakin menjauhkan diri.. cara dan gaya menunjukkan seperti aku orang asing sedang sebelumnya aku selalu menjadi tempat mereka bertanya tentang pelajaran juga. Aku fikir ini tidak lain dan tidak buka semata kerana aku berstatus penganggur yang sedang tenat bergelut masalah kewangan... nasib baiknya isteri aku bekerja jadi boleh bernafas namun untuk meneruskan pengajian yang yuran pengajian dah tertunggak bersemester amat membebankan...... Namun tanpa di sangka... sungguh saya tidak sangka dalam aku berdepan dengan masalah meneruskan pengajian seorang kawan Cina (seorang cikgu perempuan) yang merupakan kawan sepengajian aku membantu aku menjelaskan yuran pengajian... sungguh aku tak meminta dan tak pernah menceritakan masalah aku... cuma yang masih aku ingat bila dia tanya tesis setakat mana.. aku hanya menjawab ingin membuat penagguhan kerana masalah menjelaskan yuran pengajian sehingga aku dapat pekerjaan... Sungguh tak sangka dia sanggup carikan aku peluang kerja dengan meminta bantuan bapa saudara dia yang membuka kedai. Yuran pengajian aku untuk satu semerter dia bantu aku jelaskan... dengan ikhlas dia bagitau tak perlu risau pasal bayaran balik. Dengan bantuan dia aku dapat meneruskan pengajian aku sehinggan berjaya dan "hutang" dia telah aku jelaskan tanda terima kasih walaupun dia tidak meminta dari aku. Selepas peristiwa itu barulah aku mengerti kebaikan dan perikemanusiaan itu tidak mengenal warna kulit dan keikhlasan itu juga tidak mengenal warna kulit... Aku masih tertanya-tanya sikap kawan-kawan Melayu aku masa aku dalam keadaan genting yang masing-masing mengangkat kaki... sedang aku bukan jenis manusia yang akan menyusahkan orang lain... Apa sekalipun dengan pelbagai peristiwa yang berlaku telah mengubah persepsi mengenai sikap dan perangai manusia yang tidak bergantung kepada warna kulit.
Tamat Master aku meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Sekarang kawan aku yang paling rapat adalah Anak Cina juga tetapi lelaki le.. ke mana-mana mesti berdua... aku pun tak tau kenapa sebab dia pun suka kawan dengan aku walaupun kawan sebangsa dia ada ramai. Dari kawan Cina aku ni membuat aku lebih memahami hati budi Orang Cina... malah aku tak rasa perbezaan kaum dengan dia sekalipun dia penganut budha yang kuat dan vegetarian. Ke mana-mana selalu lah dengan dia termasuk masa membeli belah... aku tengok takdalah semasa dia berhubung dengan peniaga Cina dia ada keistimewaan sebagai pelangan sama juga macam aku... Mula-mula aku fikir mungkin Cina sama Cina ni boleh kira cincai sebab aku fikir mereka sedang bersatu membangunkan bangsa mereka ternyata persepsi aku silap. Pernah satu ketika aku dan kawan Cina aku ni pergi ke Sabah selama 2 minggu mengelilingi Negeri Sabah dan merata tempat aku pergi memang boleh kata aku cukup kenal dan rapat dengan dia pendek kata tiada rasa prejudis apa-apa. Kemudian dia ajak aku masuk satu syarikat perniagaan dan jadi pengedar bersama dia jadi aku ikut dia... percaya tak aku dapat cukup banyak ilmu dari dia dan dia memang mengajar aku cara-cara nak memajukan perniagaan dengan jayanya... Selama aku berkawan dengan dia cara hidup dia cukup simple... pergi kerja pakai motor EX5 jer... tapi simpanan pelaburan dan hartanah jangan ceritalah banyak... Aku belajar dengan dia macamana nak hidup senang kemudian hari.. kata dia masa depan adalah duit bekerja untuk kita dan bukan kita bekerja untuk duit. Pandangan hidup orang Cina banyak aku dapat dari dia malah dia bagitau pelik tengok kenapa orang Melayu tak gunakan banyak keistimewaan yang ada untuk majukan diri. Apa sekalipun aku bertuah sebab dapat mengenali seorang Anak Cina dan dapat membuka mata aku dalam banyak pekara yang sebelumnya aku tak tau.
Baru-baru ni aku mencari kontraktor untuk mengubahsuai rumah baru aku... seperti biasa nak cari kontraktor ni kena pandai pilih jadi ada yang dapat kos murah dan ada yang dapat kos mahal dengan kerja yang lebih kurang sama. Ada yang kerja cincai-cincai dan ada yang kerja dengan teliti... Aku tak mahu memburuk-burukkan mana-mana bangsa tapi aku fikir antara kebaikan untuk diri sendiri dan kebaikan untuk orang lain walaupun satu bangsa, aku akan memilih kepentingan diri aku sendiri dulu sebelum aku memikirkan kepentingan orang lain yang sebangsa dengan aku. Bagaimana dengan orang lain pula? Sesungguhnya bersatunya sekumpulan manusia itu adalah kerana keimanan dan kemanusiaan... Penyatuan manusia adalah disebabkan kesukaan kepada sifat terpuji sebagai manusia... bukan penyatuan kerana warna kulit...

1 ulasan:

Tutorial dan Perbincangan